suria

Effendi Tidak Akan Tanding Di Balingian

Effendi Norwawi.
Effendi Norwawi.

KUCHING: Bekas Menteri Pertanian Datuk Seri Effendi Norwawi menyangkal dakwaan bahawa dia akan bertanding di Balingian sekiranya Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Mengulas beberapa laporan di portal berita dan akhbar, Effendi berkata, beliau tidak berminat dan tiada hasrat untuk menjadi calon di Balingian.

"Saya telah bersara dari politik dan kini hanya ingin fokus kepada perniagaan saya," katanya menerusi kenyataan media pada lewat malam Ahad.

Nama Effendi sering dikaitkan dengan Taib dan bakal mengisi kerusi DUN yang ditinggalkan bekas Ketua Menteri Sarawak itu dalam tempoh terdekat.

Berketurunan Melanau seperti Taib, Effendi pernah berkhidmat sebagai menteri ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Beliau dilaporkan meletak jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Encorp Berhad pada Julai 2013 sekali gus menguatkan lagi khabar angin bahawa beliau akan kembali dalam arena politik.

Effendi berkata beliau menyokong sepenuhnya pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri baharu.

Malah perbualannya dengan Adenan hanya sekadar untuk mengucapkan tahniah dan menyatakan kesediaan untuk membantu beliau sekiranya khidmatnya diperlukan.

"Komen yang saya buat mengenai Balingian adalah penduduk di sana telah melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana kawasan itu ditransformasikan dengan pembangunan yang luar biasa.

"Mereka telah melihat bagaimana kerajaan menjanjikan pembangunan terutamanya ketika dibawah pentadbiran Pehin Sri Taib," katanya.

Artikel Lain