suria

Cadangan Pindaan Akta SPRM Untuk Pastikan Entiti Korporat Bebas Rasuah

Paul Low Seng Kuan.
Paul Low Seng Kuan.

PUTRAJAYA: Cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dengan memasukkan peruntukan liabiliti korporat, bertujuan memastikan entiti korporat bebas daripada rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, langkah memasukkan peruntukan itu akan membolehkan entiti korporat memikul liabiliti bagi perbuatan rasuah atau pelanggaran undang-undang yang dilakukan pekerjanya.

“Hari ini, hanya pekerja perlu memikul liabiliti itu, jadi kami mahu mengaitkannya dengan sektor korporat," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada sektor swasta tentang cadangan pindaan terhadap Akta SPRM 2009 di sini, Isnin.

Taklimat itu diadakan untuk memberi maklumat terkini kepada masyarakat peniaga tentang peruntukan liabiliti korporat yang dicadangkan itu, mendapatkan maklum balas daripada mereka dan membantu meningkatkan kefahaman mereka tentang liabiliti korporat dari segi undang-undang dan operasi.

Low bekata, pindaan kepada Akta SPRM 2009 dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya menjelang Jun ini.

“Ia bergantung pada hasil perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kabinet, sebelum boleh dibentangkan di Parlimen," katanya.

Ditanya tentang cabaran yang bakal dihadapi dalam melaksanakan cadangan peruntukan yang akan dimasukkan ke dalam Akta itu, beliau berkata ia berkaitan kesediaan syarikat dan bagaimana suatu sistem komprehensif dapat dilaksanakan mengenai integriti korporat dalam sesebuah syarikat dan mengubah budaya korporat. - BERNAMA

Artikel Lain