suria

Lebih 40 Hektar Hutan, Belukar Di Negeri Sembilan Terbakar

Api kelihatan marak membakar belukar di Kampung Belangkan, Kuala Sawah dekat Seremban pada Sabtu. - fotoBERNAMA
Api kelihatan marak membakar belukar di Kampung Belangkan, Kuala Sawah dekat Seremban pada Sabtu. - fotoBERNAMA

SEREMBAN: Lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di Negeri Sembilan dilaporkan terbakar pada Sabtu, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis.

Beliau berkata pihaknya menerima 32 panggilan mengenai kebakaran hutan dan belukar pada Sabtu dan yang terkini mengenai kebakaran hutan di daerah Rembau bersempadan dengan Tampin melibatkan kawasan seluas 8.1 hektar.

"Pada hari ini juga saya telah mengarahkan cuti semua anggota dibekukan dan diarahkan untuk bertugas membantu pemadaman api hutan di kawasan berkenaan. Operasi untuk mengawal api daripada merebak melibatkan pasukan Balai Bomba Rembau dan Tampin," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya lapan unit chalet dan dua kabin yang dijadikan pejabat di kawasan peranginan yang telah lama ditinggalkan dan terbengkalai di Kampung Belakang, Kuala Sawah dekat sini turut musnah dalam kebakaran kira-kira 2.20 petang Sabtu.

Bagaimanapun, katanya bomba berjaya menyelamat tiga unit chalet daripada musnah dalam kebakaran itu.

"Siasatan awal kami mendapati kebakaran itu berpunca daripada kebakaran kawasan hutan dan belukar seluas 15 hektar berhampiran dan merebak pantas ekoran tiupan angin dan cuaca kering," katanya.

Norazam berkata empat pegawai termasuk dirinya dan 26 anggota beserta tiga jentera terlibat dalam kerja-kerja pemadaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain