suria

Gajah Mengamuk Dipercayai Telah Memasuki Kawasan Thailand

KOTA BAHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan percaya seekor gajah yang mengamuk sehingga membunuh seorang kanak-kanak di Kampung Bukit Perawas, Ayer Lanas, Jeli, pada Sabtu telah memasuki kawasan hutan Thailand.

Pengarahnya Mohamad Khairi Ahmad berkata hasil pemantauan dan operasi yang dilakukan oleh 12 anggotanya sejak semalam tidak menunjukkan gajah berkenaan masih berada di sini.

"Kami percaya haiwan berkenaan sudah melintas masuk ke negara jiran dan kita akan menghubungi pihak di sana untuk mengesahkannya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, kanak-kanak tersebut Wan Aidid Nasrullah Wan Mahmud, 3, maut manakala ibunya Rezamawati Che Mat, 37, cedera parah selepas seekor gajah liar menyerang mereka di dalam kebun getah.

Kanak-kanak itu dikatakan duduk di dalam raga motosikal bapanya apabila dirempuh gajah itu setelah menyerang ibunya. Bapa mangsa, Wan Mahmud Wan Omar, 33, bagaimanapun terselamat.

Mohamad Khairi berkata operasi menjejaki haiwan itu telah dimulakan sejak semalam dan dihentikan pada pukul 8 malam tadi ekoran keadaan cuaca yang gelap sebelum disambung pukul 7.30 pagi Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain