suria

Dua Juta Terima BR1M Secara Berperingkat Dalam Tempoh 20 Hari - Ahmad Husni

Ahmad Husni Hanadzlah.
Ahmad Husni Hanadzlah.
Ahmad Husni Hanadzlah.

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua juta penerima bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2014) yang tidak mempunyai akaun bank, akan menerima baucar secara berperingkat dalam tempoh tidak melebihi 20 hari, bermula 23 Feb ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata agihan kepada penerima yang tidak mempunyai akaun itu akan dilakukan para pemimpin di kawasan parlimen masing-masing.

"Walaupun agihan kepada penerima tanpa akaun bank akan ambil masa kerana ia melibatkan jumlah yang besar, tetapi kerajaan ingin melaksanakan pemberian baucar dalam tempoh tidak melebihi 20 hari.

"Ini adalah kerana rakyat amat memerlukan bantuan ini sekarang dan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup," katanya dalam sidang akhbar mengenai BR1M di sini, Sabtu.

Sementara seramai 5.4 juta penerima BR1M yang mempunyai akaun bank pula akan menerima terus bantuan berkenaan dalam akaun mereka pada 22 Feb ini.

Ahmad Husni berkata bayaran itu akan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima secara serentak di seluruh negara sebaik sahaja program BR1M dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Menengah Aminuddin Baki di sini.

"Pendekatan membuat pembayaran BR1M menggunakan akaun bank merupakan langkah yang lebih efisien serta memastikan rakyat tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan tersebut seperti sebelum ini," jelas beliau.

Ahmad Husni juga berharap penerima akan menggunakan wang bantuan secara berhemah dan berbelanja mengikut keperluan masing-masing. Beliau berkata secara keseluruhan, program BR1M 2014 dijangka memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

"Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima," katanya.

Tambah Ahmad Husni, penambahan nilai BR1M 2014 ini diharapkan dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya kepada golongan yang tinggal di bandar bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Katanya di bawah BR1M 2014, kerajaan turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan nilai perlindungan minimum RM1,000 (kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Kepada soalan kononnya pengagihan bantuan BR1M ada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Selangor pada 23 Mac ini, Ahmad Husni berkata: "BR1M dilaksanakan sejak tahun 2012 dan telah lama dirancang untuk diedarkan pada bulan Februari, dan isu PRK Kajang pula baru wujud. Jadi, pemberian BR1M tidak ada kaitan dengan Kajang". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain