suria

Pemandu Lori Maut Ditetak Di Hadapan Bank

IPOH: Seorang pemandu lori maut akibat ditetak tiga lelaki bertopeng di hadapan sebuah bank berhampiran Ipoh Padang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata T. Eswaran, 27, cedera parah di kepala dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Mangsa dari Taman Kledang Suria, Menglembu baru sahaja mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan sebelum diserang kumpulan penjenayah terbabit ketika mangsa menuju ke keretanya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mangsa terbaring di tepi jalan sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans yang dihubungi tetapi meninggal kemudiannya.

Kumpulan itu dilihat melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi berwarna perak yang bernombor pendaftaran JLQ 8278, katanya.

Mangsa dikatakan bekerja di Singapura dan balik ke Ipoh untuk bercuti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain