suria

KPN Ucap Takziah Kepada Keluarga Pegawai Kanan PDRM Yang Meninggal

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan takziah kepada anggota keluarga dua pegawai kanan polis yang meninggal dunia pagi Sabtu akibat kemalangan jalan raya dan diserang penyakit jantung.

"Ketua Polis Negara dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua Allahyarham. Semoga roh mereka dicucuri rahmat," demikian menurut laman Facebook PDRM.

Inspektor Muhammad Azri Ismail, 33, dari Unit Tindak Khas terlibat dalam nahas pada 2 Feb lepas ketika dalam perjalanan menghadiri kursus di Lumut, Perak.

Menurut Facebook itu, Allahyarham dibawa ke Hospital Sungai Buloh di sini untuk menjalani rawatan dan meninggal pada pukul 7.30 pagi Sabtu.

Jenazah diuruskan di Masjid Bukit Aman dan dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.

Allahyarham meninggalkan isteri yang sedang mengandung dua bulan dan tiga anak lelaki yang berumur antara dua hingga lapan tahun.

ASP Mohamad Hasri Abdullah, 48, dari Jabatan Logistik, Bukit Aman pula meninggal di Hospital Slim River, Perak pada pukul 5.13 pagi Sabtu setelah mengalami serangan jantung.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Penghulu Him, Sungai Petani.

Allahyarham meninggalkan isteri dan empat orang anak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain