suria

Kawasan Batu Kapur Gunung Tempurung Terbakar

TERBAKAR... Kelihatan seorang penduduk memerhatikan Gunung Tempurung yang terbakar dipercayai akibat panahan kilat sejak petang Jumaat semasa tinjauan fotoBernama di Kampung Sungai Siput Selatan di Kampar, Perak pada Sabtu. - fotoBERNAMA
TERBAKAR... Kelihatan seorang penduduk memerhatikan Gunung Tempurung yang terbakar dipercayai akibat panahan kilat sejak petang Jumaat semasa tinjauan fotoBernama di Kampung Sungai Siput Selatan di Kampar, Perak pada Sabtu. - fotoBERNAMA

KAMPAR: Kawasan Gunung Tempurung yang mengandungi batu kapur kira-kira seluas empat hektar di Kampung Sungai Siput Selatan di sini terbakar dipercayai akibat panahan kilat sejak petang Jumaat.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Ruhisha Haris berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan pada 7.49 malam semalam selepas penduduk melihat api dari arah gunung itu.

"Dua buah jentera dengan 25 anggota dikejarkan ke kawasan kebakaran dan memulakan operasi pemadaman dengan menggunakan pam angkut berkapasiti tinggi dari kaki gunung. Setakat ini kebakaran telah berjaya dikawal dan kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya api tidak merebak ke kawasan lain," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata bagaimanapun jika api didapati terus merebak, pihaknya akan membuat 'fire break' di kawasan sekeliling bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan gunung yang terletak bersebelahan.

Pam berkapasiti tinggi digunakan memandangkan permukaan gunung yang sangat curam iaitu ada kawasan 80 ke 90 darjah sekali gus mendatangkan risiko dan berbahaya kepada anggota bomba, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain