suria

Polis Marin Tahan 23 Pati Cuba Keluar Secara Haram

JOHOR BARU: Pasukan Polis Marin menahan 23 pendatang tanpa izin (Pati) di Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi malam tadi kerana dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram.

Mereka yang ditahan dalam serbuan pada 10 malam itu terdiri daripada 16 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak.

Mereka berusia antara dua dan 52 tahun.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 ACP Zainul Abidin Hasan berkata hasil siasatan mendapati mereka mengaku hendak balik ke Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah.

Zainul berkata semua Pati itu ditahan di Balai Polis Bandar Penawar untuk siasatan lanjut kerana cuba keluar Malaysia melalui laluan tidak diwartakan, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Sejak Januari lepas, 17 kes tangkapan dibuat Pasukan Polis Marin Wilayah 2 di bawah kesalahan Akta Anti Pemerdagangan Orang & Anti Penyeludupan Migran (ATIP) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

Sebanyak 204 Pati dan dua lelaki yang bertindak sebagai tekong ditangkap dalam tempoh berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain