suria

MAS Buka Semula 'Golden Lounge' Di KLIA

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) pada Jumaat membuka semula ruang menunggu mewah, 'Golden Lounge', di Tingkat Mezanin, Terminal Satelit, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), setelah ditutup selama tiga bulan bagi kerja pengubahsuaian.

Pembukaannya dirasmikan Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS Datuk Mohd Salleh Ahmad Tabrani di sini Jumaat.

Mohd Salleh berkata pengubahsuaian terhadap ruang menunggu seluas 43,284 kaki persegi itu adalah sejajar dengan komitmen MAS untuk menawarkan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia kepada penumpangnya.

"Ruang menunggu untuk penumpang Kelas Satu dan Kelas Perniagaan serta pemegang kad Platinum, Gold dan Enrich ini mampu memberi kemudahan kepada lebih 400 penumpang.

"Tahun lepas, Golden Lounge MAS digunakan lebih 310,000 penumpang dan kami menjangka jumlahnya meningkat 30 peratus tahun ini.

"Oleh itu, memang tepatlah dengan waktunya MAS memperkemaskan lagi Golden Loungenya kerana jumlah penumpang MAS semakin bertambah sejak MAS menjadi anggota Oneworld Alliance," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Maklumat lanjut tentang ruang menunggu ini, yang dibuka sepanjang masa, boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.malaysiaairlines.com.

Sementara itu, penempatan semula Golden Lounge MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kini selesai dilakukan dan dibuka semula kepada penumpang. Ia terletak di terminal domestik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain