suria

Sweden: Empat Beradik Sedih Terima Berita Ibu bapa Akan Dibicarakan

KOTA BAHARU: Emosi empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden atas tuduhan memukul tangan seorang daripada anak lelaki mereka kerana tidak bersolat, sedikit terganggu berikutan berita ibu bapa mereka akan dibicarakan di mahkamah negara itu minggu depan.

Datuk mereka, Norshal Nordin, 71, berkata emosi keempat-empat cucunya itu terganggu, tambahan pula tidak bertemu ibu bapa mereka lebih dua bulan.

"Pastinya kanak-kanak ini tertekan dengan apa yang berlaku, terutama Ariff (anak bongsu) yang sangat merindui ibu bapanya.

"Apa yang kami mampu lakukan sekarang hanyalah berdoa dan melakukan solat hajat supaya Allah SWT dapat membantu membebaskan anak dan menantu saya itu dan pulang dengan selamat ke Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis penerimaan bantuan kewangan persekolahan dua cucu sebanyak RM100 seorang di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala di sini hari ini.

Anaknya Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji dan suami, Azizul Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia di Sweden, ditahan reman sejak 18 Disember tahun lepas dan perbicaraan mereka di Mahkamah Daerah Stockholm ditetapkan Selasa depan dan dijangka mengambil masa 10 hari.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Jan lepas, dan sehari selepas itu dibawa pulang ke Malaysia.

Mereka kini dijaga bapa dan ibu saudara mereka di Kelantan.

Norshal berkata walaupun pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap Shalwati dan Azizul, namun beliau sangat mengenali pasangan tersebut yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak mereka.

Sementara itu, guru Penyelaras dan Kaunselor SK Padang Kala Zulkifli Mohd Noor yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti perkembangan semasa Adam dan Ariff ketika berada di sekolah berkata kedua-dua pelajar berkenaan cepat menyesuaikan diri dengan sesi pembelajaran.

"Selama berada di sekolah sejak empat hari lepas, saya lihat mereka mudah mesra dengan rakan-rakan di bilik darjah. Saya rakamkan pergerakan mereka dan melihat kedua-dua beradik ini mudah berkomunikasi menggunakan bahasa mereka," katanya.

"Cuma Ariff yang mempunyai sedikit masalah kerana sedikit pendiam, Bagaimanapun dia bagus dalam subjek Matematik. Saya jangkakan mereka akan dapat menguasai Bahasa Melayu dalam masa terdekat kerana mereka menunjukkan minat mempelajari bahasa tersebut dan mudah bergaul dengan rakan-rakan," katanya.

Adam yang ditemui memberitahu pemberita, dia menerima perkara itu dengan hati terbuka dan berlapang dada dengan ketentuan Ilahi.

"Yaa, sad (sedih)," katanya.

Adam, yang memulakan persekolahan sejak Ahad lepas berkata dia kini mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan gembira apabila dapat bersekolah serta mendapat banyak teman baharu.

Ariff pula hanya menunjukkan riak sedih dan mendiamkan diri apabila ditanya tentang pendakwaan terhadap ibu bapanya itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain