suria

Polis Jejak Lelaki Bantu Kes Bunuh Bekas Pelajar Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat lelaki reput separuh bogel warga Sri Lanka yang juga bekas pelajar sebuah universiti swasta, di sebuah unit kondominium di Brickfields pagi Rabu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata suspek berumur 32 tahun itu sedang dikesan berdasarkan rakaman percakapan saksi dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kondominium tersebut.

Khairi memberitahu sidang media pada Rabu bahawa mangsa berusia 34 tahun yang telah menamatkan pengajiannya tahun lepas dalam jurusan Bahasa Inggeris, ditemui terbaring di atas katil pukul 10 pagi.

"Kita menerima laporan daripada pengawal keselamatan kondominium yang sebelum itu diminta memecahkan pintu sebuah unit kondominium oleh seorang rakan mangsa yang curiga kerana panggilannya tidak berjawab apabila dia berkunjung ke rumah mangsa.

"Apabila pintu dibuka, kelihatan mayat rakannya sudah reput dan berbau busuk serta dianggarkan telah mati empat hingga tujuh hari lepas," katanya.

Beliau berkata terdapat unsur jenayah dalam kes itu kerana ada kesan pergelutan dan barang-barang mangsa yang diselongkar.

Khairi berkata polis turut menemui barangan milik si mati iaitu sebuah telefon bimbit jenama Sony, peralatan menghisap dadah di bawah katil dan peralatan sokongan untuk melakukan hubungan kelamin.

"Dengan penemuan peralatan (seks) ini, polis percaya mangsa terlibat dalam perhubungan seks sesama jenis atau 'Gay'. Kita tidak menolak kejadian ada kaitan dengan aktiviti seksualnya," katanya sambil menambah tiada senjata ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihak hospital telah menjalankan proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa selain bagi mengesahkan bentuk kecederaan pada badannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Mungkin Tanding Di Kajang

Artikel Lain