suria

Reman Suspek Bunuh Anggota Cawangan Khas Disambung Lima Hari Lagi

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman terhadap seorang anggota polis lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang anggota polis cawangan khas di kawasan Bukit Persekutuan pada 4 Februari lepas, disambung lima hari lagi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa ketika dihubungi hari ini berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 30-an itu berakhir semalam sebelum disambung sehingga 13 Februari ini.

Mayat Lans Koperal T Thivakar ditemui di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan dengan kesan tembakan di muka dan mata kanan dipercayai ditembak dari jarak dekat.

Dua kelongsong peluru berukuran 9mm, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan jaket turut ditemui berhampiran mayat mangsa, semasa kejadian.

Polis menahan rakan setugas mangsa di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan pada sebelah malam, hari yang sama di Kuala Lumpur.

Sepucuk pistol dan beberapa dokumen lain berkaitan dirampas polis daripada lelaki itu. - BERNAMA

Artikel Lain