suria

Polis Ambil Keterangan Ibu Pelajar Yang Maut Minum Sebotol Ubat

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan ibu pelajar yang maut selepas meminum sebotol ubat di rumahnya di Seksyen 6, Bandar Rinching, Semenyih, dekat sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata keterangan akan diambil dalam masa terdekat sebaik sahaja upacara penyempurnaan mayat mangsa di kampung halamannya di Seremban, selesai dilakukan.

"Keterangan ibu mangsa penting bagi membolehkan kita menyiasat kesahihan dakwaan dia (mangsa) tertekan akibat sering dibuli di sekolahnya," kata Abdul Rashid yang dihubungi Bernama Ahad.

Abdul Rashid berkata jika dakwaan itu didapati sahih pihaknya juga tidak akan teragak-agak mengambil keterangan daripada pihak lain termasuklah pengetua sekolah mangsa.

Pelajar terbabit, T.Kavinraj, 13, mati ketika menerima rawatan di sebuah klinik selepas meminum ubat yang disimpan di dalam rumahnya.

Ibunya, B. Thanamalar, 43, berkata anaknya merupakan pelajar cemerlang ketika di sekolah rendah, bagaimanapun sejak mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Rinching Januari lepas, dia sering mengadu dibuli rakan-rakan. - BERNAMA

Artikel Lain