suria

Kementerian Kaji Tarik Balik Subsidi Diesel Nelayan Laut Dalam - Ismail Sabri

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (enam, kanan) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Irmohizam Ibrahim (tiga, kanan) menunjukkan ikan segar yang dijual secara terus selepas majlis pelancaran Jihad Memerangi Orang Tengah Dalam Sub Sektor Perikanan di Kompleks LKIM Kuantan, Ahad. -fotoBERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (enam, kanan) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Irmohizam Ibrahim (tiga, kanan) menunjukkan ikan segar yang dijual secara terus selepas majlis pelancaran Jihad Memerangi Orang Tengah Dalam Sub Sektor Perikanan di Kompleks LKIM Kuantan, Ahad. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengkaji semula pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan laut dalam kelas C1 dan C2 susulan banyak kes penyelewengan bantuan itu membabitkan mereka.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu juga seiring dengan objektif subsidi iaitu hanya untuk meringankan beban nelayan yang berpendapatan rendah.

"Kita lihat kebanyakan bot nelayan laut dalam yang ambil bantuan ini walaupun pemiliknya orang tempatan, kapten dan anak kapalnya orang asing, tidak jual pun ikan di pantai tetapi jual ke negara asing.

"Jadi ini sudah tidak menepati konsep subsidi yang dikehendaki. Sepatutnya nelayan pantai zon A dan B sahaja layak menerima, manakala nelayan Zon C yang ada kapal nelayan 10 buah tidak patut diberikan bantuan dan ini kita akan perhalusi," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata pihaknya akan membuat cadangan kepada Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab dalam pemberian subsidi, sebaik kajian itu selesai.

Mengulas laporan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di Kuala Besut, Terengganu awal bulan ini, Ismail Sabri berkata kementeriannya akan menyiasat dakwaan nelayan di situ berhubung penglibatan nelayan laut dalam.

"Ada kebenaran kata-kata mereka sebab nelayan laut dalam ini berada jauh di tengah laut dan Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) tidak mampu memantau kegiatan yang dilakukan. Jadi saya akan siasat kesahihan laporan itu," katanya.

Terdahulu Ismail Sabri melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Ahamad Sabki Mahmod dan Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah. - BERNAMA

Artikel Lain