suria

Taib Buat Pengumuman Berhubung Persaraannya Dua Hari Lagi

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu berkata beliau akan membuat pengumuman penuh mengenai spekulasi berhubung persaraannya dua hari lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak , beliau berkata tidak akan ada pilihan raya mengejut selepas pengumumannya untuk bersara.

"Tidak ada. Kami tidak mempunyai kejutan (bahawa pilihan raya tergempar akan diadakan) Parti telah memberikan saya petunjuk tertentu bahawa segala-galanya (selepas persaraannya) akan berjalan lancar. (Butiran lain) saya akan umumkan kemudian pada masa yang sesuai," katanya.

Kenyataan itu datang hampir empat hari selepas Berita Harian dalam laporan muka depannya melaporkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri akhir bulan ini.

Berikutan laporan berita itu, Taib tidak menghadiri tiga acara rasmi peringkat negeri yang menyebabkan spekulasi itu bertambah hangat.

Empat nama disebut-sebut sebagai bakal pengganti Taib bagi jawatan Ketua Menteri yang dipegang sejak 1981.

Mereka ialah timbalan presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, naibpresiden kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Adenan Satem dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.

Bagaimanapun, dalam laporan akhbar hari ini, Effendi menafikan bahawa beliau akan menjadi pengganti dan tidak akan mencabar sebarang keputusan yang dibuat Taib mengenai siapa yang bakal dipilih menggantikannya.

Tiga lagi pemimpin yang nama mereka disebut-sebut setakat ini enggan mengulas berhubung spekulasi itu.

Bernama difahamkan bahawa satu lagi mesyuarat antara Taib dan semua wakil rakyat akan diadakan pada Ahad.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain