suria

Lim Kecam Tindakan Baling Letupan Di Kawasan Balai Polis Bukit Tengah

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membaling sejumlah bahan letupan dipercayai mercun hingga mengakibatkan kerosakan di sebahagian kawasan pintu masuk dan pos pengawal di Balai Polis Bukit Tengah, awal pagi Sabtu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tindakan itu dilihat sebagai cabaran melampau pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya yakin polis mempunyai mekanisme untuk menjalankan siasatan dengan teliti dan memastikan pelakunya diberkas secepat mungkin. Saya difahamkan keadaan adalah terkawal serta tiada keresahan atau kesan lain," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu, beliau melawat dan mendengar taklimat ringkas daripada Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Nasir Salleh mengenai insiden berkenaan.

Ketika kejadian 4.50 pagi itu, empat anggota polis sedang bertugas. Tiada yang cedera namun kerugian dianggarkan antara RM10,000 dan RM15,000.

Sementara itu, Nasir berkata polis akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa premis berdekatan balai itu untuk mengenal pasti suspek.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 5, Akta Bahan-bahan Hakisan dan Letupan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) DSP Aziz Ahmad 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain