suria

PKNS Holdings: MB Akan Siasat Dakwaan Penglibatan Azmin

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memandang serius dakwaan kononnya Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali terlibat dalam pengambilan pekerja kontrak di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya akan mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang mengaitkan Mohamed Azmin yang juga bekas ahli lembaga pengarah PKNS yang digugurkan sebelum ini.

"Pasa masa ini saya andaikan dakwaan itu tidak benar, tapi saya akan siasat.

"Jika ia benar, kita perlu dedahkan...kalau tak benar pun kita perlu dedahkan.

"Walaupun hal berkaitan PKNS adalah sulit, tapi saya boleh beri arahan supaya kertas-kertas sulit berkaitan (jika ada) supaya didedahkan kepada umum," katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini, Khamis.

Sebelum ini didedahkan bahawa PHSB melakukan pengambilan perkerja kontrak tanpa mengikut prosedur penjawatan dan ditawarkan dengan gaji yang tinggi.

Malah pelantikan pekerja kontrak juga menyebabkan berlakunya pertindihan tugas dengan kakitangan tetap sedia ada.

Selasa lalu PHSB memecat 22 kakitangannya, tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa Isnin.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat penamatan kontrak itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa.

Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Mengulas lanjut Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKNS berkata, beliau boleh mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi menjalankan sesi pendengaran awam menyiasat pelbagai dakwaan dan spekulasi termasuk yang mengaitkan Mohamed Azmin.

"Saya boleh cadangkan tapi ia terpulang kepada DUN untuk membuat pendengaran...boleh memanggil orang-orang yang membuat cerita tersebut supaya dapat berikan penerangan.

"Dengan cara itu pengurusan di PKNS adalah telus dan bertanggungjawab," katanya.

Artikel Lain