suria

Pistol Ditemui Dalam Kereta Dipandu Penganggur

KOTA KINABALU: Polis menemui sepucuk pistol jenis Armscor di dalam sebuah kereta yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Batu 7, Jalan Tuaran Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt M.Chandra berkata turut ditemui dalam kereta yang dipandu lelaki berumur 26 tahun itu ialah lapan butir peluru, empat buah telefon bimbit dan satu plastik kecil yang mengandungi bahan disyaki syabu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemui enam pelapis aluminium yang dipercayai digunakan untuk menghisap syabu, gunting, besi penyepit, rambut palsu dan wang tunai RM570.

"Semasa diperiksa berlaku sedikit pergelutan dengan polis apabila suspek bertindak agresif sebagai cubaan untuk melarikan diri, namun polis berjaya menangkap suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, Jumaat.

Katanya, kereta Proton Exora berwarna putih yang dipandu suspek yang beralamat di penempatan Telipok dan menganggur didaftar atas nama seorang wanita.

Bagaimanapun, pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan kereta tersebut.

Suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah.

Menurut Chandra, suspek yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan turut positif dadah direman bermula semalam hingga 12 Februari ini.

Mengenai kes seorang wanita berumur 33 tahun dari Kg Laut, Papar yang cedera parah ditikam dipercayai oleh bapa tirinya di Pantai Tanjung Aru 2, Prince Philip Park pada Rabu lalu, beliu berkata mangsa berada dalam keadaan stabil.

Katanya, suspek yang berumur 54 tahun telah berjaya diberkas di stesen kereta api Papar pada Khamis semasa Ops Cantas Khas. - BERNAMA

Artikel Lain