suria

Juruwang Cemas Diacu Pistol Sebelum Disamun

KUANTAN: Seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di Jalan Tanjung Pasir, di sini berdepan detik cemas apabila diacukan sepucuk pistol oleh dua lelaki sebelum menyamun wang tunai RM16,000 petang Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian 4 petang itu, juruwang berumur 20-an, dihampiri suspek yang menyamar sebagai pelanggan.

"Ketika berada di depan mangsa, seorang daripada suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol lalu mengacukan ke arah mangsa menyebabkan mangsa terkejut dan menyerahkan semua wang di dalam laci.

"Selepas mengambil kesemua wang tunai itu, suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Myvi," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, mangsa yang dalam keadaan trauma terus menghubungi Balai Polis Bukit Goh untuk meminta bantuan.

Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak dapat memastikan sama ada senjata api yang digunakan dalam kejadian itu pistol tiruan atau sebaliknya dan terpaksa menyerahkan semua wang itu kerana bimbang dengan keselamatannya.

Katanya, berikutan kejadian itu polis kini menjalankan operasi bagi memburu kedua-dua suspek terbabit.

Beliau turut meminta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain