suria

Polis Tahan Buruh, Rampas 460 Bungkus Air Ketum

KANGAR: Polis merampas 460 bungkus plastik air ketum dan menahan seorang buruh yang dipercayai menjual air berkenaan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawi Endoi, Simpang Empat dekat sini, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Md Zukir Md Isa berkata buruh berumur 34 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1.30 pagi oleh pasukan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hasil daripada maklumat orang awam.

"Siasatan mendapati buruh itu menjalankan aktiviti memproses daun ketum sejak dua bulan lepas dan menjual kepada pelanggannya di sekitar Kangar, Simpang Empat dan Arau dengan harga RM3.00 sebungkus," katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Menurut Md Zukir buruh itu dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negara jiran dan rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini setakat ini.

Katanya polis menemui 420 bungkusan plastik kecil mengandungi air ketum dalam enam guni berwarna kuning dan 40 lagi dalam dalam plastik besar yang kesemuanya seberat 130 liter di bahagian dapur rumah berkenaan.

Turut ditemui satu periuk besar berisi cecair yang dipercayai air ketum yang belum dibungkus dan 25 botol ubat batuk 'dynadryl syrup' dipercayai untuk dicampur dengan air ketum, katanya.

Md Zukir berkata buruh berkenaan direman selama empat hari mulai semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki ubat batuk yang dilarang yang membawa hukuman maksimum denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya bagi kesalahan memiliki air ketum, buruh itu disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain