suria

Kementerian Kewangan Dalam Proses Tentukan Harga Ambil Alih AES

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan kini dalam proses menentukan nilai bagi cadangan pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada syarikat projek berkenaan selepas proses penilaian menyeluruh dijalankan.

Dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, kementerian berkata langkah itu sejajar dengan keputusan kerajaan untuk mengambil alih projek AES daripada dua syarikat asal melalui AES Solutions Sdn Bhd, syarikat milik Prokhas Sdn Bhd.

Prokhas adalah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

Penilaian pengambilalihan itu berdasarkan pengiraan aliran tunai terdiskaun yang saksama dan berpatutan bagi ekuiti termasuk nilai aset dan liabiliti.

Menurut kementerian itu, jumlah perbezaan penilaian dalam laporan sebuah akhbar harian semalam adalah tidak betul memandangkan kementerian masih merundingkan perkara itu.

Kementerian komited kepada tadbir urus yang baik dalam memastikan pengambilalihan kedua-dua syarikat itu berjalan lancar dan pelaksanaan AES yang berkesan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain