suria

Jerebu Di Lembah Klang Bukan Debu Gunung Berapi

KUALA LUMPUR: Situasi udara yang kelihatan sedikit berjerebu di sekitar Lembah Klang bukan disebabkan kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia Ahad lalu, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Rabu.

Sebaliknya, ia disebabkan kehadiran habuk halus atau partikel udara yang terampai dalam keadaan cuaca sekarang yang panas dan kering.

"Habuk halus atau partikel udara yang terampai merupakan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera daripada pelbagai punca antaranya, pelepasan kenderaan bermotor, perindustrian, aktiviti pembangunan tanah dan pembinaan," kata JAS dalam satu kenyataan di sini.

Jabatan itu menjelaskan keadaan atmosfera yang stabil (stagnant) dan topografi kawasan Lembah Klang yang bercirikan lembah menyebabkan habuk halus atau partikel udara yang terampai terperangkap di ruang udara dan tidak dapat menyebar dengan cepat.

JAS turut melaporkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada pukul 12 tengah hari ini menunjukkan sebanyak 32 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 20 kawasan pada tahap sederhana dan tiada kawasan pada tahap tidak sihat.

Berikutan cuaca panas dan kering, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.

Selain itu, JAS turut mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain