suria

Anggota dan Kelengkapan Polis Cukup Untuk PRK Kajang - KPN

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia akan menempatkan bilangan anggota dan kelengkapan mencukupi bagi menjaga keselamatan dan keamanan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan hadapan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini bersedia untuk menghadapi PRK itu dan memberi jaminan proses itu akan berjalan lancar.

Beliau berkata pihaknya juga sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa PRK itu.

Ia bukanlah pertama kali diadakan bagi penggal ini dan polis sudah pastinya menggunakan pengalaman sebelumnya dalam mengendalikan PRK, katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan PDRM di sini Rabu.

Khalid berkata pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa kawasan panas di DUN berkenaan namun enggan mengumumkannya kerana masih terlalu awal.

"Setiap PRK ada corak tersendiri dan kita tengoklah di Kajang ini apa yang perlu dipertingkatkan lagi," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian PRK DUN Kajang manakala penamaan calon pada 11 Mac.

PRK itu diadakan ekoran Wakil Rakyat PKR Lee Chin Cheh melepaskan jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kajang pada 27 Jan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain