suria

PAS Alu-Alukan Mukhriz Dedah Penyelewengan PR Di Kedah

Mahfuz
Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) ketika PAS menerajui Kedah.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata Mukhriz bagaimanapun tidak boleh 'mengugut' PAS daripada mempersoalkan pentadbiran beliau di negeri Kedah.

"Saya persilakan dengan penuh takzim kepada Datuk Seri Mukhriz untuk membongkar segala apa yang beliau maksudkan, jika itu merupakan penyelewengan yang berlaku di zaman kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat.

"Tapi tak boleh ugut untuk kami terus berdiam diri daripada mempersoalkan kepimpinan beliau dan segala kelemahan serta kepincangan yang berlaku di zaman beliau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Selasa.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata pimpinan PR tidak akan bertolak-ansur atau melindungi mana-mana pemimpinnya sekiranya berlaku penyelewengan ketika mentadbir Kedah dari tahun 2008 hingga 2013.

Katanya, jika benar terdapat pemimpin yang menyeleweng, sudah tentu tindakan akan dikenakan kerana kuasa mendakwa terletak di bawah kerajaan Pusat.

"Dalam lima tahun tidak ada tindakan pun dikenakan kepada mana-mana pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah.

"Kuasa untuk menyiasat dan mendakwa ada pada kerajaan BN kerana mereka menguasai kerajaan Pusat...kalau ada penyelewengan dah lama dah (dikenakan tindakan)," katanya.

Mahfuz mengulas mengenai kenyataan Mukhriz sebelum ini yang meminta PAS menghentikan 'serangan' terhadap pentadbiran beliau di Kedah atau penyelewengan yang berlaku di bawah kerajaan PR ketika mentadbir Kedah dibongkarkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain