suria

Empat Anak Pasangan Ditahan Di Sweden Bersekolah Di SMK, SK Padang Kala

Zahari Daud (tiga, kanan) memberikan surat penempatan sekolah kepada empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden, di Foto SAZUKI EMBONG / THE STAR
Zahari Daud (tiga, kanan) memberikan surat penempatan sekolah kepada empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden, di Foto SAZUKI EMBONG / THE STAR

KOTA BARU: Kesemua empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul salah seorang anak mereka kerana enggan bersolat, akan memulakan persekolahan selepas menerima surat penempatan sekolah daripada Jabatan Pendikan Negeri Kelantan.

Timbalan Pengarah Negeri, Zahari Daud berkata, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, tujuh, akan ditempatkan di SMK Padang Kala dan SK Padang Kala.

Sekolah-sekolah itu berhampiran dengan rumah ibu saudara mereka, Shaleena Norshal di Kampung Wakaf Tok Wali, Melur di sini.

"Jabatan akan memberikan elaun kepada anak-anak dan saudara mereka bagi memudahkan mereka memulakan persekolahan.

"Sekiranya mereka membuat keputusan untuk pergi ke sekolah hari ini, ia juga dibolehkan bagi Jabatan kerana mereka telah pun menerima surat-surat penempatan itu," kata Zahari kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat penempatan sekolah di rumah Shaleena pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua empat beradik itu akan menerima bantuan persekolahan awal RM100 dan buku-buku teks.

Selepas penahanan ibu bapa mereka oleh pihak berkuasa Sweden sejak 18 Disember lalu, kesemua empat beradik itu, melalui rundingan diplomatik, pulang ke Malaysia pada Sabtu lepas untuk diletakkan di bawah jagaan Shaleena.

Zahari berkata, jabatan itu telah mengarahkan guru besar sekolah berkenaan untuk memberi perhatian khusus kepada empat beradik itu, termasuk kaunseling bagi membolehkan mereka bercampur dalam persekitaran yang baru dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Aishah mengucapkan terima kasih kepada jabatan itu kerana memberi bantuan bagi membolehkannya bersama adik-adiknya dapat memulakan persekolahan di Kelantan, sambil menambah bahawa mereka akan berusaha yang terbaik untuk membiasakan dengan persekitaran baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain