suria

Anggota Cawangan Khas Ditemui Mati Ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, Selasa.

Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira 4.30 petang yang kemudian memaklumkannya ke Balai Polis Travers.

Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata polis turut menemui dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah motosikal, sebuah topi keledar dan jaket.

Mangsa belum berkahwin.

"Kita masih menyiasat sama ada mangsa membawa senjata kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian," katanya.

Khairi berkata motif pembunuhan masih disiasat.

Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain