suria

Syabas: Loji Air Cheras Batu 11 Kembali Beroperasi

KUALA LUMPUR: Loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 milik Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga), yang ditutup akibat pencemaran ammonia di Sungai Langat Selasa lepas, dijangka mula beroperasi pukul 6 petang Ahad.

Menurut kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), LRA itu akan menyalurkan air terawat ke kolam imbangan berikutan pencemaran ammonia di sungai berkenaan mula berkurangan.

"Kerja pembersihan tangki takungan air mentah dari pencemaran ammonia dan pengepaman masuk air mentah ke dalam tangki takungan air mentah itu sedang dijalankan," katanya.

Pencemaran ammonia yang berlaku di sungai itu menyebabkan dua LRA milik Puncak Niaga, termasuk LRA Bukit Tampoi, ditutup.

Kenyataan itu juga memaklumkan LRA Bukit Tampoi masih ditutup berikutan tahap pencemaran ammonia Sungai Langat di muka sauk air mentah loji berkenaan masih tinggi.

"Sehingga kini, kesan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat yang menerima bekalan air dari kedua-dua LRA masih terkawal.

"Hanya 97 aduan ketiadaan air dan 27 aduan tekanan rendah direkod daripada pengguna di kawasan Hulu Langat sementara hanya 18 aduan ketiadaan air direkod daripada pengguna di kawasan Kuala Langat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut keadaan berkenaan disebabkan kawasan terlibat terutama di sekitar wilayah Hulu Langat disalur lebihan bekalan air ekoran penurunan tahap penggunaan bersempena musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina dari kawasan berdekatan.

Syabas, yang akan terus memantau situasi itu dan berusaha mengurangkan kesan penutupan kedua-dua LRA, memohon pengguna di kawasan terjejas menggunakan bekalan air sementara yang diterima melalui lori tangki secara berhemah.

Pengguna yang tidak terlibat dengan gangguan bekalan air seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disaran terus menggunakan air secara berkhemah dan mengelak pembaziran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain