suria

Bapa Kelar Anak Dalam Perhatian Polis Elak Cubaan Bunuh Diri

BANGI: Seorang lelaki yang menganggur, didakwa membunuh anak perempuannya berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya, diletakkan dalam pemerhatian di Hospital Kajang bagi mengelakkan cubaan membunuh diri.

Timbalan Ketua Polis Selangor , Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu cuba membunuh diri tidak lama selepas kejadian berlaku.

"Kepala dan tangannya berlumuran darah ketika ditemui di sebuah sungai kira-kira 300 meter dari rumahnya di Bandar Baru Bangi.

"Pada mulanya, kami menyangkakan dia mahu melarikan diri tetapi sebenarnya dia cuba untuk membunuh diri tetapi gagal," katanya pada sidang media selepas meninjau persediaan polis bagi pilihan raya kecil Kajang yang akan datang.

Lelaki yang ditahan reman sehingga 6 Februari itu tidak mempunyai sejarah penyakit mental tetapi kelihatan tertekan sebelum menyerang anak-anak perempuannya.

"Pegawai polis di Hospital Kajang telah diberitahu untuk membuat pemerhatian terhadapnya bagi mengelakkan dia cuba untuk membunuh diri sekali lagi.

"Bila kecederaannya sembuh, kita akan pindahkannya ke lokap berhampiran," katanya.

Abdul Rahim berkata, bapa kepada enam anak itu akan dihantar untuk penilaian psikiatri sekiranya Jabatan Peguam Negara merasakan perkara itu adalah perlu.

"Prosedur menetapkan lelaki mesti didakwa terlebih dahulu sebelum penilaian psikiatri dijalankan," katanya.

Beliau juga berkata, kedua-dua anak perempuan yang terselamat berada dalam keadaan stabil.

"Salah seoranag daripada dua beradik itu berada di Hospital Kuala Lumpur. Ibu jari kirinya putus semasa serangan tersebut. Kita tidak dapat mencari ibu jarinya.

"Seorang lagi yang berusia 10 tahun di Hospital Kajang dan sedang pulih daripada kecederaan di kepala," katanya.

Khamis lalu, seorang budak perempuan berusia tujuh tahun ditemui mati dan dua adik-adiknya cedera di rumah mereka di Bandar Baru Bangi.

Anak perempuan lelaki itu yang berusia 15 tahun pulang ke rumah pada kira-kira pukul 4.15 petang dan melihat adik-adiknya cedera dan bapa mereka sedang memegang parang berlumuran darah di ruang tamu.

Dia cepat berlari ke tingkat atas rumah dan menghubungi polis. Bapanya kemudian melarikan diri.

Polis tiba di kejadian dan menemui seorang seorang budak perempuan yang sudah meninggal dunia di dalam bilik belakang di tingkat bawah rumah.

Kesemua anak perempuan yang cedera dikejarkan ke hospital.

Polis menemui bapa yang berusia 44 tahun di sungai kira-kira pukul 6.30 petang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain