suria

Lelaki Warga Myanmar Rentung

GEORGE TOWN: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pantai Acheh, Balik Pulau dekat sini awal pagi Sabtu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditemui rentung dalam keadaan terlentang di lantai rumah papan itu yang terletak dalam sebuah kebun.

Katanya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.14 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke lokasi kebakaran.

"Ketika tiba di lokasi 11 minit kemudian, kita dapati kebakaran telah memusnahkan hampir keseluruhan rumah tersebut.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di lantai selepas api dapat dipadam sepenuhnya pada 4.35 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Gerakan Negeri Nuzaihan Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain