suria

MAS Tawar Hadiah Khas Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) meraikan Tahun Kuda dengan menawarkan hadiah istimewa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke destinasi terpilih mulai 29 Januari hingga 2 Februari.

Ia termasuk destinasi di Sabah, Sarawak, Asean, China, Hong Kong dan Taiwan.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan negara itu berkata pelanggan bakal menerima sampul 'Ang Pow' merah tertera lambang Wau MAS, limau mandarin dan kotak makanan berwarna merah.

Malah, menu dalam penerbangan juga diberikan sentuhan perayaan dengan menawarkan dada itik salai dan perapan ubur-ubur sebagai pembuka selera, ikan kod kukus dan nasi, serta teh hijau 'bavarois' sebagai pencuci mulut.

"Kami berharap dapat menambah keriangan dalam perjalanan balik menemui keluarga dan rakan sempena Tahun Baru Cina, bersama pengalaman dalam penerbangan yang disediakan khas.

"Hadiah dan menu itu juga dapat memberikan tetamu kami dari luar negara satu pengalaman baharu dalam perayaan yang penting ini, yang merupakan sebahagian daripada layanan mesra Malaysia," kata Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS Datuk Mohd Salleh Ahmad Tabrani.

Perjalanan sepanjang musim perayaan ini kini sampai ke kemuncaknya dan oleh itu pelanggan diminta tiba awal di lapangan terbang untuk daftar masuk.

Mereka boleh mengelak barisan panjang dengan memeriksa masuk secara dalam talian, menerusi MHmobile, atau kiosk-kiosk layan diri yang disediakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain