suria

Pembangkang Tidak Amanah - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, sebagai tindakan tidak amanah dan mengkhianati kepercayaan rakyat.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata tindakan wakil rakyat dari parti PKR itu juga jelas bukan untuk kepentingan rakyat tetapi hanya bersifat individu.

"Mana boleh kita tinggalkan rakyat macam begitu sahaja. Kita dipilih untuk menjadi wakil (rakyat) mereka, tak kan kita tinggalkan mereka tanpa sebab tanpa perbincangan.

"Dulu sewaktu bertanding, janji macam-macam untuk jaga kepentingan mereka, tiba-tiba tinggal macam itu sahaja...ini tidak bertanggungjawab," katanya selepas menjadi tetamu dalam program 'Ruang Bicara', program bual bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan wakil rakyat dari PKR itu yang menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan, semalam.

Rentetan daripada peletakan jawatan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan PKR sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan, untuk mengisi kekosongan kerusi DUN tersebut.

"Saya lihat pilihan raya ini tidak lebih daripada isu peribadi, dan sebenarnya perjuangan PKR dari hari pertama ia ditubuhkan adalah untuk hal peribadi, tujuannya adalah untuk kepentingan Anwar Ibrahim, sampai hari ini," kata Ismail Sabri. BERNAMA

Artikel Lain