suria

Pelajar Lemas Mandi Air terjun

DUNGUN: Seorang pelajar tingkatan empat yang hilang ketika mandi di kawasan Air Terjun Sungai Bangan, Kampung Shukor, dekat sini, pada Isnin ditemui lemas pagi Selasa. Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata mayat Mohd Saiful Azuan Mohamad, 16, ditemui kira-kira pukul 10.50 pagi oleh pasukan penyelamat.

Katanya mayat pelajar yang berasal dari Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) itu ditemui berhampiran lokasi dilaporkan lemas.

"Selepas gerakan mencari dan menyelamat dilakukan hampir 12 jam pasukan penyelamat berjaya mengesan mangsa selepas melakukan selaman di tempat dilaporkan lemas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam kegembiraan sekumpulan remaja mandi di kawasan air terjun berkenaan berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka hilang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu mangsa bersama 14 lagi rakannya pergi ke kawasan air terjun itu selepas selesai majlis sambutan Maulidur Rasul di AMBS.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain