suria

PAS Sokong Anwar Tanding, Azmin 'Kunci Mulut'

PETALING JAYA: PAS memberi sokongan penuh terhadap keputusan meletakkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Naib presidennya Salahuddin Ayub berkata sokongan akan diberikan kepada Anwar dalam memastikan kejayaan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

"Sebagaimana semangat dalam Pakatan Rakyat, PAS juga akan memberikan sokongan penuh terhadap calon dan kerusi yang dipertandingkan dalam memastikan kejayaan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Anwar dinamakan sebagai calon bertanding kerusi DUN Kajang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain Anwar, hadir sama Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang ditemui di luar sidang media berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai pengumuman tersebut.

Katanya, beliau hanya akan memberi kenyataan selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan PKR negeri pada pukul 2 petang ini.

Beliau turut ditanya sama ada beliau gembira, menyokong atau menghormati keputusan yang telah dibuat.

"Saya selalu gembira. Keputusan sudah dibuat..." katanya.

Mengenai jawatan menteri besar, beliau berharap perkara itu tidak dispekulasikan kerana apa yang penting pada masa ini ialah untuk menang pada pilihan raya kecil Kajang.

"Bila kita (PKR) sudah menang baru kita duduk balik dan berbincang," katanya.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dengan meletakkan jawatan pada Isnin selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Artikel Lain