suria

Kes Bunuh: Hakim Baharu Tentukan Nasib Warga Pakistan

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan tarikh 12 Feb untuk menentukan sama ada seorang peniaga warga Pakistan yang dituduh menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di Kota Marudu dua tahun lalu akan dipanggil untuk membela diri.

Hakim Ishak Bakri yang menggantikan Hakim Duncan Sikodol yang mendengar kes itu berkata beliau memerlukan masa untuk menyemak nota kes pendakwaan sebelum membuat keputusan. Sikodol telah berpindah ke Jabatan Peguam Negara.

Amir Ali Khan Nawaty, 40, dituduh melakukan kesalahan itu ke atas Norikoh Saliwa, 16, di dalam sebuah lori di sepanjang Jalan Km2.8 Langkoh, Kota Marudu antara pukul 11 pagi dan 12.30 tengah hari pada 25 Nov 2012.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Semasa perbicaraan antara Februari dan September tahun lalu, pihak pendakwa yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin mengemukakan lebih 10 orang saksi. Amir diwakili peguam Rakhbir Singh. BERNAMA

Artikel Lain