suria

BN Layak Bertanding Tanpa Guna Formula Lama - Khairy

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno berpendirian sesiapa juga calon yang dipilih dari parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah layak bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan semalam oleh wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata setiap calon yang dipilih adalah terbaik dan tidak perlu berlandaskan formula lama dengan mengambil kira calon dari parti komponen yang mana sepatutnya diletakkan untuk bertanding mengikut kawasan.

Katanya, seseorang calon adalah layak dan terbaik setelah dipilih berdasarkan penilaian di peringkat tertinggi.

"Maka calon itu selayaknya diberi kepercayaan untuk bertanding malah tidak perlu terikat dengan formula lama.

"Jika calon Umno yang dipilih adalah terbaik, maka rakyat perlu pilih calon tersebut," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno Sesi 2013-2016 di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn, di sini.

Khairy berkata menjadi kewajipan bagi parti untuk bertanding sekiranya berlaku kekosongan kerana BN menjulang prinsip demokrasi demi maruah parti.

"Selebihnya serah kepada rakyat untuk membuat pilihan walaupun kita sedar ini sebahagian permainan politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Lee memenangi kerusi DUN Kajang, Selangor pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan antara BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini berkata satu mesyuarat khas akan diadakan untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi DUN Kajang pada 5 Februari ini.

Khairy berpendapat penamaan Anwar sebagai calon PKR untuk bertanding bagi kerusi tersebut merupakan polemik pakatan pembangkang bagi menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Terdahulu, Khairy mengumumkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Umno telah bersetuju dengan cadangan Pemuda untuk mewujudkan Akademi Kepimpinan Kapten Tun Hussein Onn bagi melatih pemimpin pelapis dalam kalangan ahli-ahli sayap berkenaan, mahasiswa dan profesional muda. BERNAMA

Artikel Lain