suria

Sekali Lagi Anwar Kata Jadi MB Hanya Spekulasi...

Datuk Seri Anwar Ibrahim menuding jari ke arah wartawan pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada Selasa. Bersamanya ialah MB Selangor, Khalid Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim menuding jari ke arah wartawan pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada Selasa. Bersamanya ialah MB Selangor, Khalid Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Selasa menolak dakwaan ia adalah untuk memberi laluan kepadanya menjadi menteri besar Selangor kemudian.

Beliau yang akan bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara itu hanyalah spekulasi dan pada masa kini hanya akan memberi tumpuan untuk menang di Kajang.

"Itu (jadi MB) hanya spekulasi. Kita nak tumpu menang pilihan raya.

"Saya harap, kalau boleh bila kerusi itu adalah kerusi Pakatan Rakyat jangan ada pembaziran untuk belanja pilihan raya dan bagi ruang untuk kita uruskan kerja kita," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Anwar berkata demikian selepas namanya diumumkan sebagai calon bagi DUN Kajang yang dikosongkan oleh penyandang sekarang Lee Chin Cheh semalam tanpa sebab.

Pengumuman mengenai keputusan untuk meletakkan Anwar bertanding di kerusi DUN berkenaan dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media yang sama.

Anwar berkata, Abdul Khalid akan menjalankan tugasnya sebagai menteri besar Selangor sepertimana biasa.

Jelas Anwar lagi, beliau membuat keputusan untuk bertanding selepas namanya dicadangkan dan dipersetujui dalam perbincangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

"Azmin ada, menteri besar Abdul Khalid pun ada (dalam perbincangan).

"Ia adalah keputusan bersama untuk memastikan kepimpinan Pakatan Rakyat, juga di Selangor mempunyai asas dan kedudukan yang lebih kuat," katanya sambil menambah presiden parti Wan Azizah tidak dapat hadir dalam perbincangan tersebut atas sebab tertentu.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang lepas di mana-mana kerusi DUN, Anwar berkata: "Dulu mereka tak cadangkan nama saya, sekarang baru cadang."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain