suria

Muhyiddin Saran Pereka Bentuk Dan Industri Berkerjasama Bangunkan Produk

Muhyiddin (kiri)bersama Ewon Ebin (dua, kiri) dan Ahmad Zainuddin (tiga, kiri) memegang replika basikal semasa melawat ke ruang pameran pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Rekabentuk Nasional 2013 peringkat Universiti di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada Selasa. foto - BERNAMA
Muhyiddin (kiri)bersama Ewon Ebin (dua, kiri) dan Ahmad Zainuddin (tiga, kiri) memegang replika basikal semasa melawat ke ruang pameran pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Rekabentuk Nasional 2013 peringkat Universiti di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada Selasa. foto - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya perkongsian pintar diwujudkan antara pereka bentuk tempatan dan penggiat industri bagi membolehkan idea yang dihasilkan diterjemah kepada bentuk dan produk yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Timbalan perdana menteri berkata langkah itu bagi memastikan idea kreatif dan inovatif yang diketengahkan pereka bentuk tempatan khususnya pelajar di peringkat pengajian tinggi tidak menjadi idea semata-mata.

"Saya sedar tidak mudah untuk mendapatkan komitmen daripada industri kerana ia melibatkan risiko tinggi dari segi kewangan dan sebagainya.

"Tetapi jika ia diatur dengan teliti, pasti risiko itu dapat diatasi dengan baik," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Reka bentuk Nasional 2013 (Peringkat Universiti) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Dr Ewon Ebin dan Pengerusi Majlis Reka bentuk Malaysia Datuk Prof Dr Ahmad Zainuddin.

Muhyiddin berkata agensi kerajaan berkaitan khususnya Mosti diharap memberi keutamaan kepada usaha itu melalui penyediaan dana yang bersesuaian untuk membangunkan idea-idea yang telah diketengahkan.

Katanya pihak industri yang berminat boleh diajak berunding bersama sehingga idea-idea itu mampu dikomersilkan.

"Saya yakin kita akan dapat melihat wujudnya situasi menang-menang antara pereka, agensi perkhidmatan awam dan industri yang boleh menyumbang terhadap peningkatan sosioekonomi negara," katanya.

Muhyiddin berkata reka bentuk kini tidak boleh lagi dipandang sebagai kosmetik semata-mata tetapi boleh dimanipulasi peranannya untuk membentuk dan memajukan ekonomi serta sosiobudaya sesebuah negara.

Beliau berkata Malaysia boleh mempelajari daripada negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Filipina yang begitu aktif meneroka industri reka bentuk untuk memastikan produk yang dihasilkan mempunyai nilai tambah dan menjadi perhatian pengguna.

Pada majlis itu, gabungan pereka muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Badrul Hisyam Baharom dan Luqman Hamidi Mohd Hafil dinobat sebagai juara pertandingan dengan ciptaan Triangle Flexible Barrier (TriFbar).

Idea inovatif berupa kon keselamatan boleh laras itu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya terutama ketika kerja membaiki jalan raya dilakukan.

Kemenangan itu melayakkan mereka menerima RM20,000, trofi dan sijil yang disampaikan timbalan perdana menteri. Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain