suria

Krew Penerbitan Didakwa Culik Peguam

KUALA LUMPUR: Seorang krew syarikat penerbitan drama dan filem pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menculik seorang peguam dan menuntut tebusan RM150,000 dua tahun lepas.

Mohd Farid Mohd Ashref, 35, hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibaca kepadanya di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mahkamah memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.

Mohd Farid bersama lima orang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas didakwa menculik Jason Leong Wai Meng, 36, di hadapan Relax World Food Court, G20-21, First Residence Unggul, Jalan Mutiara 1, di sini pada 12 tengah malam 12 Mei 2012.

Tertuduh yang diwakili peguam Zainal Narudin didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mei 2012, lima lelaki didakwa terhadap pertuduhan menculik peguam itu dan menuntut tebusan RM150,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain