suria

Letak Jawatan Demi Kepentingan Pakatan Rakyat - Chin Cheh

Lee Chin Cheh.
Lee Chin Cheh.

PETALING JAYA: Tindakan Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dibuat demi kepentingan Pakatan Rakyat di Selangor.

Malah, beliau berkata, keputusan tersebut turut dilakukan bagi membolehkan ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat itu mengukuhkan kemampuan mereka dalam berkhidmat kepada rakyat di negeri berkenaan.

"Keputusan saya untuk mengosongkan kerusi DUN 25 (Kajang) adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor," katanya menerusi satu kenyataan media pada malam Isnin.

Pada masa sama, Chin Cheh turut mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Kajang yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat DUN N25 Kajang," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, kerusi DUN Kajang menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Lee Ban Seng calon Barisan Nasional (BN-MCA), Mohd Khalid Kassim (bebas), Mohamad Ismail (Berjasa), Ong Yan Foo (bebas), Ir Mohd Iwan Jefry Abdul Majid (bebas) dan Lee Chin Cheh sendiri daripada PKR.

Chin Cheh memenangi kerusi itu selepas mendapat 19,571 undi meninggalkan calon BN dengan majoriti 6,824 undi.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh mengumumkan peletakan jawatan Chin Cheh dalam satu sidang media tergempar di Dewan Annexe, Shah Alam pada petang Isnin.

Tindakan mengejut itu dilihat sebagai membuka laluan kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan beliau dilantik sebagai menteri besar yang baharu jika memenangi kerusi tersebut.

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain