suria

Kerajaan Cari Mekanisme Terbaik Tangani Projek Terjejas Banjir

KUANTAN: Kementerian Kerja Raya sentiasa mencari mekanisme terbaik dalam memastikan sesebuah projek kukuh dan tahan lama bagi mengelak kerugian sekiranya berlaku bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof berkata setiap projek yang terjejas akibat bencana alam akan segera diperbaiki di mana pelaksanaannya selepas itu akan diperhalusi dan diteliti dari segi kaedah dan material yang digunakan.

"Kita sentiasa cari jalan dan melakukan kajian agar kita dapat mengaplikasikan teknologi baharu di dalam projek jalan, jambatan atau cerun yang terjejas khususnya ketika banjir supaya ketahanannya dapat diperbaiki.

"Kita juga secara berterusan membuat penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu dengan menggunakan material terbaik dan kaedah terbaharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kerja-kerja mengecat dan latihan praktikal pusat khidmat kontraktor di Taman Sepakat di sini Isnin.

Fadillah berkata sebanyak RM56.9 juta diperlukan untuk membaiki jalan, jambatan dan cerun yang rosak akibat banjir di Terengganu, Pahang dan Johor baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak RM41.5 juta diperlukan Pahang, Terengganu memerlukan RM10.3 juta manakala RM5.1 juta untuk Johor.

"Negeri-negeri lain yang dilanda banjir seperti Sarawak dan Kelantan kita belum terima laporan anggaran kerugian, bila kita terima nanti kita akan buat penilaian dan cari jalan bagaimana kita dapat membantu permasalahan yang dialami setiap negeri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata laluan empat lorong dua hala yang menghubungkan sempadan Kemaman dan Pelabuhan Kuantan di Sungai Ular dekat sini bagi fasa pertama sepanjang tiga kilometer dijangka siap pada Julai depan, yang menelan kos RM19.8 juta.

"Setakat ini projek jalan bagi fasa pertama itu telah siap 56.4 peratus, di mana bila ia siap sepenuhnya nanti akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi di Pelabuhan Kuantan dan juga di Terengganu," katanya.

Beliau berkata bagi fasa kedua iaitu sepanjang sembilan kilometer dan mempunyai dua jambatan serta tiga jejambat itu sedang dalam proses mendapatkan peruntukan dianggarkan bernilai RM180 juta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Lelaki Nyaris Maut Ditembak

Artikel Berikut

Artikel Lain