suria

Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 Dibentang Pada Sesi Parlimen Akan Datang - Rohani

KUCHING: Kira-kira 70 peratus kandungan Akta Kanak-kanak 2001 akan dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai dalam menjaga keselamatan anak-anak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata cadangan pindaan tersebut sudah diserahkan kepada Peguam Negara untuk penelitian sebelum dibentangkan di Parlimen.

"Cadangan pindaan sudah diserahkan kepada Peguam Negara. Terpulang kepada budi bicara beliau sama ada akta tersebut dinamakan pindaan atau akta baharu kerana terlalu banyak pindaan kira-kira 70 peratus dicadangkan.

"Kita jangka jika dapat diselesaikan semuanya, akta tersebut akan dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan kerjasama kementerian, di sini malam Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai intipati pindaan tersebut, Rohani berkata beberapa denda atau tindakan tambahan bakal dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai seperti melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat, kursus keibubapaan dan kaunseling.

"Tujuan kita bukan menghukum, tetapi cuba memastikan kanak-kanak diberi penjagaan, kasih sayang dan layanan yang setimpal," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain