suria

Pemuda Umno Tiba Di Sweden Bantu Empat Beradik Rakyat Malaysia

STOCKHOLM: Pasukan Khas Pemuda Umno bagi membantu empat kanak-kanak yang terpisah dengan ibu bapa mereka setelah ditahan pihak berkuasa Sweden tiba di sini, Sabtu.

Ia diketuai Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous yang tiba di terminal lapangan terbang Arlanda kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan dengan disambut beberapa pegawai kedutaan Malaysia.

Pasukan ini turut disertai Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat bagi membantu merungkai masalah yang dihadapi keempat-empat kanak-kanak tersebut yang kini diletak di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam.

Pasukan khas ini akan bertemu Duta Besar Malaysia ke Sweden, Datuk Badruddin Ab Rahman bagi membincang untuk mengambil keluarga angkat baharu beragama Islam kepada kanak-kanak tersebut.

Ibu bapa mereka yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden iaitu Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal seorang guru sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, ditahan sejak 18 Disember lepas kerana didakwa mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Ekoran penahanan kedua-duanya, anak-anak mereka telah terpisah dengan mereka hampir 40 hari dan pihak berkuasa Sweden telah melantik keluarga angkat bukan Islam untuk menjaga keempat-empat beradik berkenaan yang dikatakan tidak pula mendapat layanan baik daripada keluarga itu. - BERNAMA

Artikel Lain