suria

Mayat Dr Gnanathurai Nagarajah Disempurnakan Pada Sabtu

Dr Gnanathurai Nagarajah.
Dr Gnanathurai Nagarajah.

KUALA LUMPUR: Mayat Dr Gnanathurai Nagarajah, rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan pada 17 Jan lepas, disempurnakan di sini, Sabtu.

Upacara pembakaran mayatnya dilakukan di Pusat Pembakaran Mayat Shamshan Bhoomi di Jalan Loke Yew di sini, kira-kira 3.30 petang.

Sebelum itu, mayat mendiang dibawa ke Kwong Tong Cemetry Funeral Parlour di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini untuk upacara keagamaan dan penghormatan terakhir.

Antara tetamu yang hadir pada upacara itu ialah Kaunselor Kedutaan Republik Afghanistan di Malaysia, Maria Akhtari dan Pengarah Urusan Adam Smith International, Wiliam Morrison.

Mayat mendiang tiba di Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.05 malam Jumaat dengan diiringi keluarga dan pegawai dari Wisma Putra.

Gnanathurai, 66, yang bertugas sebagai Penasihat Dasar dan Pembaharuan Bajet di Adam Smith International, adalah antara 21 mangsa yang terbunuh dalam serangan nekad ke atas Restoran Taverna du Lubnan di Kabul.

Anak sulungnya, Amit Gnanathurai, 35, berkata bapanya adalah seorang yang berjiwa murni dan sering terlibat dengan kerja kebajikan selain amat menyayangi mereka sekeluarga.

"Beliau seorang yang suka bercerita dan sering berkongsi pengalaman kerjanya atau kehidupannya dengan keluarga. Saya masih tidak percaya yang saya telah kehilangan seorang bapa yang hebat kerana kami baru bertemu pada malam Krismas lepas di Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di sini.

Rakan mendiang semasa bertugas di Kementerian Kewangan dari 1968 hingga 1974, M.S. Rajah, 72, pula berkata Gnanathurai seorang yang rendah diri walaupun bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa.

"Kami merupakan kawan baik ketika sama-sama bertugas di kementerian. Beliau seorang peramah dan sentiasa disenangi rakan sekeliling. Walaupun bekerja di luar negara, beliau masih menghubungi saya," katanya yang mengetahui berita kematian mendiang menerusi sepupu lelakinya yang tinggal di Perancis.

Sementara itu, Maria Akhtari berkata, Gnanathurai merupakan seorang yang sangat komited dengan tugasnya.

"Kami kehilangan seorang yang hebat...kami amat menghargai apa yang telah dilakukan untuk rakyat kami terutamanya dalam merancang belanjawan ekonomi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain