suria

Majlis Fatwa Tidak Dipergunakan Mana-Mana Pihak - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Jumaat menyangkal dakwaan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan kononnya dipergunakan oleh kerajaan sebagai platform menyekat perbezaan pendapat.

Menegaskan dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata majlis itu menerusi mufti-muftinya menjalankan tanggungjawab mereka atas nama Islam dan sebarang keputusan dibuat berlandaskan al-Quran dan Sunnah dan bukannya atas kepentingan mana-mana pihak.

"Terdapat 14 mufti di sini dan tidak mungkin mereka dipergunakan, tambahan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)/Jabatan Agama Islam Negeri (KESUJA) 2014, di sini.

Jamil Khir mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik beberapa pengamal perundangan sebagai berkata Majlis Fatwa Kebangsaan membenarkan diri mereka dipergunakan oleh kerajaan sebagai alat menyekat perbezaan pendapat walaupun tidak mempunyai asas perundangan terhadap Islam.

Laporan itu turut memetik bahawa kegagalan menyemak trend berkenaan memungkinkan majlis itu hilang kredibilitinya.

Mengenai kejohanan berkenaan, Jamil Khir berkata KESUGA bertujuan mengetengahkan bakat sukan dalam kalangan ketua jabatan di samping mengeratkan silaturahim dan semangat setiakawan. - BERNAMA

Artikel Lain