suria

JPJ Tambah Anggota Dalam Ops Penyamaran Tahun Baru Cina

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah 50 peratus anggota penguatkuasaan bagi operasi penyamaran pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Ahmad.

Beliau berkata penambahan anggota penguatkuasa tersebut berikutan kaedah penyamaran sama ada sebagai penumpang bas atau orang awam bagi mencegah salah laku pemandu yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas itu, berkesan.

Tanpa memaklumkan bilangan anggota sebenar yang akan melakukan penyamaran itu, Ismail berkata JPJ akan menempatkan 1,800 anggota dan pegawai penguatkuasa di 157 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

"Semua mereka akan bertugas secara berkala sepanjang operasi bermula semalam hingga 9 Feb ini. Kumpulan penguatkuasaan ditingkatkan sekali ganda, dulu satu negeri empat kumpulan, kali ini kita tingkatkan menjadi lapan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) di sini malam Jumaat.

SM1JPJ berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kesalahan lalu lintas dan keselamatan jalan raya. Melaka merupakan negeri ke-12 yang melancarkan Skuad Muda 1JPJ.

Ismail berkata Skuad Muda 1JPJ peringkat kebangsaan akan dilancarkan pada 26 Jan depan dan akan disempurnakan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 27,000 orang telah menganggotai Skuad Muda 1JPJ di seluruh negara dan JPJ menyasarkan sebanyak 300,000 anggota menjelang penghujung tahun.

"JPJ akan turut menempatkan 500 anggota SM1JPJ di 32 kawasan Rehat dan Rawat seluruh negara bagi membantu penguatkuasa JPJ menjalankan pemeriksaan," katanya.

Ismail berkata mereka juga akan mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya kepada pengguna untuk meningkatkan kesedaran dalam mencegah kemalangan. - BERNAMA

Artikel Lain