suria

PM: Belum Ada Keputusan Mekanisme Jual RON95

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan mengenai kemungkinan petrol RON95 hanya akan dijual kepada golongan yang layak sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hingga kini belum ada kata putus mengenai mekanisme yang bakal diperkenalkan kerajaan berkaitan subsidi bahan api itu.

"Belum ada apa-apa keputusan," katanya ringkas pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan yang menyebut kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis bahawa petrol RON95 hanya akan dijual kepada golongan miskin.

Bagaimanapun Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno pada sidang media yang sama berkata, beliau sudah membuat penjelasan mengenai isu tersebut dengan mendakwa terdapat kesilapan pada laporan terdahulu.

Pada masa ini harga RON95 adalah RM2.10 seliter (63 sen subsidi) dan harga RON97 adalah RM2.80.

Harga runcit RON97 ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain