suria

Mahkamah Rayuan Akan Melawat Tempat Teoh Beng Hock Terjatuh

PUTRAJAYA: Panel Mahkamah Rayuan tiga anggota yang mengendalikan rayuan berhubung keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, akan melawat tempat dia dikatakan terjatuh di Plaza Masalam.

Tempat itu adalah bekas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Mohammad Ariff Md Yusof, yang mempengerusikan panel itu, memerintahkan pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan mengatur pemergian mereka ke tempat itu bagi memeriksa tingkap yang dikatakan tempat pembantu politik DAP itu terjatuh daripada bangunan berkenaan.

Satu tarikh sebelum 28 Mac akan ditetapkan bagi tujuan itu.

Dua hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

"Ini belum pernah berlaku," kata peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Meng Kee, abang kepada Teoh, sambil menambah bahawa inilah julung kalinya para hakim Mahkamah Rayuan akan melawat tempat kejadian dalam inkues.

Dalam inkues berkenaan, koroner Azmil Muntapha Abas melawat tempat terbabit dua kali dan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan menyiasat punca kematian Teoh, melawatnya sekali.

Terdahulu, panel itu mendengar rayuan yang dikemukakan Meng Kee dan menetapkan 28 Mac untuk menyambung pendengarannya.

Pada prosiding hari ini, Gobind berhujah tentang standard bukti yang perlu diguna pakai Mahkamah Koroner untuk membuat dapatan berhubung homisid dalam sesuatu inkues.

Katanya Mahkamah Koroner, yang mendengar inkues tentang kematian Teoh, terkhilaf apabila menggunakan ujian 'melebihi keraguan munasabah' yang meletakkan syarat ketat dan beban lebih berat di bahu keluarga simati untuk membuktikan teori mereka bahawa kematian itu adalah satu homisid, pada inkues berkenaan.

Gobind berkata ujian sewajarnya yang perlu dilakukan Mahkamah Koroner ialah ujian keseimbangan kemungkinan, yang hanya memerlukan bukti bersifat berkemungkinan apabila membuat keputusan pada akhir inkuesnya.

Beliau berkata inkues diadakan untuk mencari fakta dan tidak perlu seketat prosiding jenayah, yang berdasarkan ujian 'di luar keraguan munasabah' kerana pada akhir perbicaran jenayah, hukuman akan diberi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain