suria

Bendahari Agung MIC Diperintah Kembalikan RM5.5 Juta Kepada Pakar Psikiatri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan Bendahari Agung MIC yang baru dilantik Datuk R. Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan yang diterimanya secara menipu daripada Kementerian Pertahanan ketika 'membantu Dr Mahadevan untuk mendapatkan balik suatu bayaran empat tahun lepas.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili Dr Mahadevan bahawa Ramanan melakukan salah nyata tipuan kepada plaintif dan menyebabkannya memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun peribadi defendan pada 19 Mei 2010.

Lee juga memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan, seperti yang terkandung dalam kenyataan bela dirinya, bahawa wang itu adalah untuk cadangan projek pembangunan bandar di Sungai Petani, Kedah, di atas tanah milik Dr Mahadevan.

Ramanan diperintah mengembalikan wang itu dalam masa 14 hari mulai hari ini, tetapi mahkamah meluluskan permohonannya bagi mendapatkan penangguhan sementara perintah itu sementara menunggu permohonan yang akan dikemukakannya Isnin depan.

Dr Mahadevan, 85, bekas ketua pakar psikiatri kerajaan dan pengasas Persatuan Psikiatri Malaysia, hadir di mahkamah, Khamis.

Menurut dokumen mahkamah, plaintif memfailkan tuntutan berjumlah RM26.6 juta daripada Kementerian Pertahanan kerana menggunakan tanah kepunyaan Dr Mahadevan sebagai lapang sasar dari 1968 hingga 1988.

Pada Mei 2010, defendan mengaku kepada plaintif bahawa beliau boleh membantunya mendapatkan tuntutan bayaran berkenaan, dan untuk tujuan itu, beliau memerlukan RM6.5 juta.

Kedua-dua pihak kemudian bersetuju jumlah itu dikurangkan kepada RM5.5 juta.

Dalam penyata tuntutannya, Dr Mahadevan memasukkan sepucuk surat bertarikh April 2010 daripada Kementerian Pertahanan, yang ditunjukkan kepadanya oleh defendan, kononnya yang meluluskan tuntutan itu.

Dr Mahadevan diwakili peguam Lavinia Kumaraendran dan Cassandra Lee, manakala Ramanan oleh peguam Harjit Singh dan Mahendra Maheson. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain