suria

Sebuah Rumah Runtuh Di Labuan, Tujuh Keluarga Diarah Pindah

LABUAN: Sebuah rumah runtuh di Kampung Patau-Patau 2 manakala tujuh keluarga di tiga kampung di sini diarah berpindah serta-merta berikutan kejadian tanah mendap dan hakisan tanah awal pagi Khamis, berikutan hujan lebat sejak empat hari lepas.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Supt Adzhar Othman berkata tujuh keluarga yang diarah berpindah itu dari Kampung Patau-Patau 2, Kampung Sungai Keling dan Kampung Rancha-Rancha dan lebih ramai penduduk dijangka berpindah jika hujan berterusan beberapa hari lagi.

"Sejurus selepas laporan dibuat pagi semalam oleh seorang penduduk Kampung Sungai Keling, arahan supaya berpindah dikeluarkan kepada keluarga berkenaan selepas mendapat pengesahan daripada pihak bomba dan penyelamat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis.

Adzhar berkata pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan akan terus membuat pemantauan di kawasan terbabit dan tempat-tempat lain yang dianggap berisiko tinggi.

"Kita juga memantau keadaan tiga rumah di lereng bukit Kampung Sungai Keling yang kita lihat tidak selamat dan turut disahkan berisiko oleh pihak bomba," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Patau-Patau 2, Juliana Jumat, 20, berkata hakisan tanah begitu ketara sejak hujan lebat turun tiga hari lepas dan menyebabkan kebanyakan penduduk dalam keadaan berjaga-jaga.

"Kami di sini berasa terancam dan mengharapkan ada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan atau bantuan sewajarnya. Ada beberapa rumah yang kini dalam keadaan senget dan bahagian dapur hanya menunggu saat untuk roboh," katanya ketika ditemui di kampung itu.

Katanya jalan raya turut mendap mengakibatkan laluan masuk dan keluar kampung terjejas teruk.

Mangsa yang terjejas dipindahkan ke balai raya berdekatan.

Pejabat anggota Parlimen Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghulurkan bantuan kilat untuk keluarga yang terjejas. - BERNAMA

Artikel Lain